10 AMALAN HARI JUMAAT

0
779

Sempena hari ni hari Jumaat dan setiap minggu akan beryulang hari Jumaat Noehas tulis entri untuk dijadikan rujukan bagi sesiapa yang hendak meningkatkan amalan pada penghulu segala hari iaitu hari Jumaat. Noehas bawakan di sini 10 amalan hari Jumaat bukan bermakna hanya 10 amalan ini sahaja yang perlu diamalkan pada setiap hari Jumaat tetapi sekadar untuk mudah diingati dan mudah dijadikan sasaran amalan. Amalan kita biar istiqamah atau konsisten barulah hasilnya dapat dilihat dan dirasai samada hasil dari sudut kerohanian, kesihatan, keberkatan dan sebagainya. Banyak lagi amalan yang berkaitan hari Jumaat dari sudut sunat, makrh, haram dan wajib.

10 amalan hari Jumaat yang Noehas maksudkan ialah membaca surah Al-Kahfi, memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW, memotong kuku tangan dan kaki, membersihkan segala jenis bulu yang ada (menggunting misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari), membersihkan diri dengan mandi yang sebaik mungkin, berpakaian yang paling cantik dan sebaik-baiknya berwarna putih, berwangi-wangian, pergi awal ke masjid, bersedekah dan memperbanyakkan doa dari mula masuknya waktu solat Jumaat hingga terbenam matahari.

sunanjumaat

10 amalan hari Jumaat yang Noehas sebutkan di atas adalah amalan-amalan sunat yang mempunyai banyak fadilat. Contohnya membaca surah Al-Kahfi boleh menyelematkan dari gangguan Dajjal bapa kesesatan. Jika gangguan Dajjal pun boleh dihindari dengan amalan membaca surah Al-Kahfi apatah lagi gangguan dan hasutan dari makhluk yang lebih lemah dari Dajjal seperti syaitan dari kalangan jin dan manusia, insyaAllah akan terselamat juga dari hasutan dan gangguan makhlukh-makhluk tersebut. Untuk kesan dan khasiat yang lebih maksima perlulah dipelajari makna dan tafsiran surah Al-Kahfi.

Begitu juga dengan kebersihan diri seperti memotong kuku, menggunting misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, mandi dan berwangi-wangian semuanya itu adalah untuk mendatangkan perasaan keagungan dalam diri iaitu keagungan terhadap Allah SWT yang ingin kita sembah secara berjemaah pada waktu solat Jumaat. Selain itu, kebersihan dan kecantikan amatlah dicintai oleh Allah SWT kerana Allah itu Maha Cantik dan suka kepada yang cantik-cantik. Berawal-awal pergi ke masjid untuk solat Jumaat juga mempunyai fadilat yang sangat besar seperti yang diriwayatkan dalam hadis Nabi saw bahawa kumpulan pertama yang pergi awal pada hari Jumaat akan dapat pahala seperti mengorbankan seekor unta, yang datang selepas itu pula seperti mengorbankan seekor lembu, semakin lambat maka semakin berkurangan nilai pahalanya. Hebat-hebat juga kelebihan 10 amalan hari Jumaat ni.

Lagi kelebihan 10 amalan hari Jumaat ialah bersedekah, berselawat dan berdoa. Dalam bab bersedekah utamakanlah mereka yang benar-benar susah, lebih-lebih lagi dari kalangan saudaramara terdekat. Tidak dilupakan juga tabung-tabung masjid,madrasah-madrasah dan rumah-rumah anak yatim. Dikatakan sedekah pada hari Jumaat pahalanya lebih besar berbanding bersedekah pada hari-hari yang lain. Berselawat pula amat digalakkan pada setiap masa dan keadaan apatah lagi pada hari Jumaat. Al-Imam Asy-Syafi’e berkata dia lebih suka memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat berbanding dengan ibadat sunat lain.

Hari Jumaat juga adalah hari yang ada padanya satu waktu yang pasti Allah terima doa sesiapa yang berdoa. Sebahagian ulama kata waktu mustajab tersebut ialah pada waktu imam berada di atas mimbar, sebahagian ulama berpendapat waktu mustajab tersebut ialah antara Asar hingga Maghrib. Perbanyakkanlah berdoa pada bila-bila masa pada hari Jumaat. Pengalaman Noehas sendiri, alhamdulillah telah banyak doa-doa pada petang Jumaat yang Noehas telah rasakan kemustajabannya. Inilah serba sedikit yang dapat Noehas kongsikan untuk tajuk 10 amalan hari Jumaat. SELAMAT BERAMAL!!!

LEAVE A REPLY