BOLEHKAH MENGGUNAKAN GELARAN ALHAFIZ UNTUK PENGHAFAZ ALQURAN?

1
1095

Ada orang bertanya tentang penggunaan istilah “Al-Hafiz” yang masyarakat kita sering dengar istilah tersebut untuk seorang yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Kerana katanya mengikut sebahagian ustaz istilah Al-Hafiz ini adalah istilah yang digunapakai oleh penghafaz hadith di zaman ulama silam. Bahkan istilah tersebut merupakan istilah yang telah diperkenalkan oleh ulama penyusun ilmu hadis bagi mengukur pencapaian hafazan hadith seseorang ulama. Ya benar apa yang dikatakan itu. Istilah Al-Hafiz untuk penghafaz Al-Quran hanya dikenali di sebahagian negaradan tidak digunakan di sebahagian negara. Walaupun begitu di negara Arab mereka yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran digelar Hafizul Quran atau Khatimul Quran atau Hamilul Quran.

Perkara ini lebih kembali kepada ‘urf atau adat setempat dalam menggelar seseorang dengan gelaran yang sesuai dalam masyarakat setempat. Di zaman Nabi saw mereka yang menghafaz Al-Quran digelar sebagai hamilul Quran (حامل القرءان). Istilah tersebut hanya untuk sebahagian dari para sahabat kerana tidak semua para sahabat menghafaz keseluruhan isi kandungan Al-Quran. Namun, pahabat yang banyak menghafaz dianggap lebih mulia dan disanjung oleh Nabi saw, seperti didahulukan dalam urusan pengkebumian, dilantik sebagai ketua dan seumpamanya.

Sejak dahulu Hamilul Quran dikenali dengan sifat sentiasa membasahkan lidah dengan Kalamullah tanpa batasan tempat dan waktu, berusaha menghafaz dan meningkatkan kecekapan hafazannya, sentiasa mengambil berat dan memerhatikan hukum bacaannya dari sudut tajwid dan ketepatan dan berusaha mempelajari dan meningkatkan pemahamannya tentang Al-Quran dan mengamalkan ajarannya. Usaha Al-Hafiz tidak setakat menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Ringkasannya, dari segi hukum adalah harus meletakkan sebarang gelaran yang membawa maksud yang baik untuk seseorang. Rasulullah saw sendiri selalu memberi gelaran tertentu untuk para sahabatnya. Di Malaysia dan beberapa negara lain, penggunaan gelaran Al-Hafiz dilihat sebagai satu pengenalan untuk membezakan latarbelakang ilmu dan kemahiran seseorang. Sebagai contoh yang mudah, seorang doktor perubatan akan mudah dikenali dengan gelaran doktornya. Gelaran Al-Hafiz pula merujuk kepada individu yang menghafaz 30 juzu’ Al-Quran. Menjadi kesalahan ialah memberi istilah dan gelaran bukan kepada orang yang berhak. Wallahu a’lam bissowaab.

1 COMMENT

Comments are closed.