CARA MUDAH JAUHI API NERAKA

0
496

 

Manusia di zaman moden inginkan serba serbi mudah dan cepat. Belajar, bekerja, kekayaan, kejayaan, dan sebagainya semuanya nak mudah. Realitinya memang banyak kehidupan dunia ini telah menjadi mudah seperti membasuh baju menggunakan mesin basuh automatik, berhubungan melalui handphone, menaiki kapal terbang menuju ke negara jauh dan pelbagai lagi kemudahan yang semakin mempercepatkan proses menyempurnakan hajat kehidupan. Persoalannya, dalam aspek Agama Islam ada tak jalan singkat dan mudah untuk berjaya dunia dan akhirat. Ada tak cara mudah untuk masuk syurga dan ada tak cara mudah jauhi api neraka. Mari kita bincangkan tajuk yang menarik ni. Kenapa ia menarik? Sudah tentu ia menarik kerana ia jalan mudah untuk kita berjaya di dunia dan akhirat.

Apabila kita bincang tentang Agama maka sudah pasti berpaksikan sumber asal yang sahih iaitu Al-Quran, hadis sahih, Ijma’ ulama dan qiyas maqbul. Jika dikaji dengan hati yang terbuka yang berasaskan sifat membawa kesejahteraan untuk umat sejagat bukan dengan sikap yang suka menyempitkan amalan Agama maka kita dapati sebenarnya banyak petua dan cara mudah jauhi api neraka yang diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebelum Noehas pergi lebih jauh dalam perbincangan ini, ingin dijelaskan bahawa usaha menjauhkan diri dari api neraka dan usaha mendekatkan diri kepada syurga adalah dua usaha yang bagus tetapi usaha yang pertama iaitu menjauhkan diri dari api neraka adalah lebih diutamakan kerana jika jauh dari api neraka maka ia bermakna semakin dengan dengan syurga. Perkara tersebut berasaskan firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud “Maka sesiapa yang dijauhkan oleh Allah dari api neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya” (surah Ali ‘Imran ayat 185).

Di sini Noehas ringkaskan petua hebat dan cara mudah jauhi api neraka yang dirumuskan dari Al-Quran dan hadis nabawi. Semoga ia sangat bermanfaat untuk memberi kita kejayaan di dunia dan akhirat. Petua pertama ialah kena tinggalkan 100% perkara yang haram. Cara kedua ialah menjaga perintah yang wajib. Hanya dua perkara tersebut sahaja yang perlu dijaga. Kedua-duanya pula akan lebih mudah disempurnakan jika diamalkan satu sahaja langkah kemudia langkah kedua akan memasuki syurga Allah. Satu langkah penting tersebut ialah langkah pijak nafsu jahat yang amat suka kepada keburukan dan sangat tidak suka kepada kebaikan. Dalam erti kata yang lain “langkah pertama tekan nafsu dan langkah kedua masuk syurga”. Nafsu pula amat susah dikalahkan kerana ia berada dalam diri kita sendiri, lawan nafsu ibaratnya sepertilawan kehendak diri sendiri. Namun, para ulama yang telah melalui liku-liku penyucian diri merumuskan bahawa jalan terbaik untuk mendidik nafsu supaya menjadi nafsu yang baik ialah dengan memperbanyakkan puasa di siang hari dan berqiamullail di malam hari.

Itulah teori dan cara mudah jauhi api neraka. Teorinya amat mudah hanya degan satu perenggan sahaja mampu dihuraikan tetapi bagaimana dengan praktikalnya. Pilihan ada di dada anda.

LEAVE A REPLY