CONTOH TAULADAN POLIGAMI NABI SAW

0
742

 

8ffd_29

Tajuk contoh tauladan poligami Nabi SAW ni sengaja Noehas tulis selepas perbincangan tentang kebaikan dan keburukan poligami serta kekangan dan cabarannya supaya contoh tauladan yang diambil dari poligami Nabi SAW ini menjadi pedoman kepada mereka yang ingin berpoligami dan juga untuk memberi jawapan kepada mereka yang menyangka bahawa poligami adalah suatu amalan yang tidak membawa kepada kebahagiaan individu, keluarga dan masyarakat.

Nabi SAW adalah manusia yang menerima wahyu dari Allah SWT. Antara wahyu yang diterimanya ialah amalan berpoligami. Justeru, Nabi SAW sebagai ikutan yang terbaik harus melakukan amalan yang disyariatkan tersebut supaya mudah difahami dan dijadikan panduan untuk umat beliau. Melalui amalan beliaulah umatnya dapat belajar contoh tauladan poligami Nabi SAW. Oleh sebab itu Nabi SAW memberi panduan yang terbaik dalam mengamalkan ayat ketiga dari surah al-Nisa’ yang membenarkan poligami dan juga monogami. Kedua-dua jenis perkahwinan tersebut telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Perkahwinan jenis pertama yang telah ditunjukkan dan dijadikan panduan untuk umatnya ialah perkahwinan monogami iaitu ketika beliau bersama Khadijah radiAllahuuanha. Pada masa tersebut, Nabi SAW telah membuktikan bahawa beliau bahagia dengan hidup secara monogami walaupun Khadijah lebih tua dari beliau di samping beliau mempunyai kekuatan seks yang boleh dikongsi bersama sebelas orang isteri seperti yang dibuktikan semasa beliau berpoligami setelah kewafatan Khadijah radiAllahuanha. Justeru, amalan monogami selama bersama Khadijah ini membuktikan contoh tauladan poligami Nabi SAW iaitu beliau bukanlah berpoligami kerana perempuan atau sukakan seks semata-mata tetapi semuanya dilakukan -iaitu sama ada monogami dan poligami- adalah berdasarkan kepada keperluan dakwah semasa dan keperluan perempuan-perempuan yang memerlukan bimbingan dan belaan dari Nabi SAW. Baginda SAW telah bermonogami daripada umurnya dua puluh lima tahun hingga mencecah usia lima puluh tahun iaitu selepas sepuluh tahun beliau diutus menjadi Nabi dan Rasul. Ini bermakna Nabi SAW menghabiskan masa-masa mudanya sebelum beliau diutus menjadi nabi dan rasul hinggalah beliau hampir berhijrah ke Madinah dengan cara monogami.

Perkahwinan jenis kedua iaitu poligami juga telah diamalkan oleh Nabi SAW supaya dengan pengamalannya dapat menjadi contoh tauladan poligami Nabi SAW kepada umatnya. Justeru, Nabi SAW dengan jelas menunjukkan bahawa beliau berpoligami bukanlah kerana nafsu seks supaya perkara tersebut diikuti oleh umatnya yang ingin berpoligami. Perkara tersebut jelas kerana Nabi SAW hanya bernikah dengan janda-janda yang kebanyakannya menjadi janda disebabkan suami mereka yang gugur syahid selain dari Aisyah RadiAllahuanha. Perkahwinan dengan janda-janda para syuhada tersebut mengajar umatnya supaya memilih isteri-isteri yang solehah yang memberi manfaat dalam kerja dakwah dan amalan agama dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan dari perbincangan tajuk poligami ini ialah kepincangan yang berlaku dalam poligami pada masa kini bukanlah kerana kesilapan sistem poligami yang disyariatkan oleh Allah SWT tetapi kepincangan tersebut berlaku dengan sebab ketidakfahaman mereka yang berpoligami dan tidak menjadikan agama dan dakwah sebagai tujuan asal mereka berpoligami. Perkara tersebut telah dibuktikan oleh Nabi SAW iaitu dalam hidup berpoligami dan bermonogami tidak menjadi halangan dalam keharmonian berkeluarga jika diamalkan dengan cara yang betul yang telah ditunjukkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW selain daripada mengikut undang-undang keluarga Islam yang telah diatur dalam setiap negara. Mengikut contoh tauladan poligami Nabi SAW adalah amat penting dalam menjayakan sistem poligami.

Sebahagian besar wanita menentang poligami. Puncanya mudah sahaja, poligami adalah berlawanan dengan cita rasa dan harapan hidup wanita yang inginkan kesetiaan dari suaminya. Penulis berpendapat, syariat Islam boleh diibaratkan seperti kedai farmasi yang menyediakan pelbagai jenis ubat untuk menyelesaikan masalah penyakit umat manusia. Justeru, sekiranya ada pembeli yang membeli ubat untuk disalahgunakan maka sudah tentu kita tidak boleh menyalahkan kedai farmasi tersebut dan sama sekali tidak patut kita menganggap bahwa kedai tersebut sudah tidak relevan lagi untuk umat manusia. Begitulah dengan poligami, jangan kerana ada segelintir umat manusia yang menyalahgunakan hukum harus berpoligami menyebabkan amalan poligami dan syariat Islam dipersalahkan dan dianggap tidak adil dan tidak relevan untuk umat masa kini. Untuk keluar dari kemelut masalah poligami kenalah ikut contoh tauladan poligami Nabi SAW.

Berdasarkan kepada perbincangan beberapa tajuk poligami di dalam blog ini, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu:

  1. Poligami iaitu amalan beristeri lebih dari seorang adalah amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan telah diamalkan oleh Nabi SAW dan perkara tersebut telah diterima oleh semua ulama iaitu telah berlaku ijmak ulama terhadap hukum bolehnya poligami.
  2. Poligami yang dilaksanakan mengikut cara, teori dan ketentuan yang betul akan memberi banyak manfaat dan faedah untuk individu, keluarga, masyarakat dan umat sejagat. Selain itu, konsep-konsep poligami harus dihayati oleh mereka yang berpoligami supaya maksud dan tujuan berpoligami yang dicadangkan oleh Islam seperti keharmonian dan keadilan dapat direalisasikan.
  3. Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mebantu mengelakkan manusia daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya menzalimi diri dan wanita tersebut. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan-minum, pakaian, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.
  4. Poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam semata-mata sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya telah diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China, Yunani, Hindu, Kristian dan Yahudi.
  5. Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan polemik dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam. Kaedah fiqh ada menyebut تَصَرُّفُ اْلإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ Maksudnya: Pemerintah hendaklah bertanggungjawab meletakkan maslahah negara dan kepentingan rakyat dalam dasar pentadbiran dan pemerintahannya.
  6. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat. Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita. Ia secara tidak langsung memberi pengertian bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami. (http://www.islam.gov.my/portal/pdf/PoligamiPPUU.pdf)
  7. Poligami bukanlah satu amalan yang wajib tetapi ia hanya satu pensyariatan yang menjadi pilihan untuk mereka yang memerlukannya sahaja. Oleh sebab itu, syarat-syarat dan peraturannya adalah sangat menitikberatkan keadilan dan kemampuan.
  8. Kaum perempuan yang tidak suka akan poligami tidak boleh membecinya dan menentangnya dari sudut hukum dan pensyariatan kerana ia boleh membawa kepada dosa besar tetapi mereka boleh menolak poligami untuk lelaki yang tidak layak untuk berpoligami.

Noehas ingin memberi beberapa cadangan kepada pihak yang ada kaitan dengan amalan poligami. Cadangan-cadangan tersebut bukanlah satu perkara yang baru tetapi untuk saling ingat memperingati dan dalam konteks perbincangan. Cadangan-cadangan tersebut adalah seperti yang berikut:

  1. Setiap lelaki yang ingin berpoligami harus memahami konsep dan tata tertib poligami yang berjaya.
  2. Setiap pernikahan, khasnya pernikahan poligami mestilah mengikut undang-undang negara supaya masa depan setiap keluarga lebih terjamin.
  3. Setiap isteri pertama yang ingin dimadukan haruslah berbincang secara baik dengan suami supaya masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan mungkin akan membatalkan niat poligami si suami.
  4. Setiap perempuan yang ingin bermadu dengan isteri orang haruslah lebih mengalah kerana dia telah mengambil hak saudaranya.
  5. Pihak bertanggungjawab tempatan yang menguruskan hal ehwal perkahwinan haruslah memberi kursus khusus untuk mereka yang ingin berpoligami sepertimana kursus perkahwinan diwajibkan untuk mereka yang ingin berkahwin. Kursus poligami tersebut akan mendedahkan keperitan dan tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh suami yang berpoligami selain dari kenikmatan dan keseronokan yang dikecapinya. Justeru, kursus sebegitu akan memberi kesedaran kepada kaum lelaki yang ingin berpoligami hanya untuk berseronok dan kursus sebegitu juga akan mengurangkan masalah-masalah yang timbul disebabkan oleh poligami yang tidak sihat.
  6. Pihak media massa harus memberi ruang untuk membincangkan masalah poligami dengan cara yang sihat dan berilmiah. Selain itu, pendedahan tentang keluarga berpoligami yang harmoni harus ditonjolkan. Begitu juga dengan filem-filem dan bahan-bahan bacaan yang dihasilkan haruslah mendorong masyarakat supaya memahami konsep poligami yang sebenar supaya ia tidak disalahgunakan oleh kaum lelaki, tidak dibenci oleh kaum perempuan dan tidak menjadi bahan yang digunakan untuk mencemarkan nama baik agama Islam dan umatnya.

Akhir kata, matlamat perkahwinan ialah untuk mewujudkan suasana ‘keluargaku syurgaku’. Justeru, sekiranya poligami dapat merealisasikan matlamat tersebut maka dipersilakan untuk diamalkan. Sebaliknya, jika poligami menjadi sebab berlakunya ‘keluargaku cukaku’ maka dinasihati supaya jangan melakukannya kerana nikmat yang sudah ada di hadapan mata iaitu isteri dan keluarga yang sedia ada haruslah lebih dihargai dan dijaga dengan baik, jangan sampai jadi seperti ‘anjing dengan bayang-bayangnya’ yang akan menyebabkan ‘apa yang dikejar tidak kesampaian dan apa yang dipikul berciciran’. Ikutilah contoh tauladan poligami Nabi SAW supaya poligami yang diamalkan berjaya

LEAVE A REPLY