HAJI AKBAR HAJI MABRUR 2014

0
659

Tak tahu macamana nak mulakan entri ni sebab terlampau gembira dengan berita yang visa haji Noehas telah diluluskan. Lebih gembira ialah semua kawan-kawan yang mohon pun dapat berita yang sama. Walaupun sudah beberapa kali pergi haji sebelum ini tetapi perasaan seperti kali pertama hendak mengerjakan haji. Jangan ada yang kata kami ambil hak orang lain pula ya. :-( Visa haji yang kami mohon ni tidak mengganggu mana-mana kouta haji dari Tabung Haji. Alhamdulillah. Nak tahu caranya? Setiap tahun berbeza cara dan pengalaman yang dilalui oleh travel-travel yang menguruskan visa sebegini. Yang peting caranya betul dan sah disisi Agama dan undang-undang. Disebut-sebut pula tahun 2014 / 1435 ini haji akbar semoga juga haji mabrur.

Sebelum Noehas berangkat menunaikan ibadat haji esok 29/9/2014 Noehas nak minta maaf dari semua yang mengenali diri ini, halalkan apa yang berkaitan dan maklumkan kepada Noehas sebarang tuntutan hak sekiranya ada kerana salah satu dari syarat hendak dapat haji mabrur iaitu haji yang diterima Allah mestilah sebelum haji telah selesai urusan sesama makhluk. Noehas tak nak kerana ada salah silap dengan sesiapa yang tidak dimaafkan menyebabkan haji akbar haji mabrur 2014 ni pun tetap tidak diterima oleh Allah SWT dari Noehas (wal’iyazubillah).

main_pic-1

Antara syarat-syarat haji mabrur juga ia mesti bersih dari sebarang dosa khasnya dalam tempoh berihram. Semoga Allah beri kekuatan kepada semua jemaah haji khasnya Noehas untuk memenuhi syarat ini supaya semua jemaah haji dapat haji akbar haji mabrur pada tahun 2014 ini. Sesiapa yang dapat haji mabrur Allah swt jamin syurga untuknya. Siapa yang tak nak jaminan syurga dari Allah sejak hidup di atas muka bumi ni lagi? Sudah pasti semua nak macam tu. Haji mabrurlah salah satu peluang yang Allah beri kepada hamba-hambaNYA untuk merebut peluang tersebut. Antara dosa yang mudah dilakukan oleh jemaah haji yang mnyebabkan haji mereka tidak dianggap mabrur ialah lidah yang mengeluarkan kata-kata jijik seperti mengumpat, merendahkan kaum tertentu, marah-marah, mengungkit dan sebagainya.

 

Ramai juga yang bertanya tentang status haji akbar yang bermaksud haji terbaik. Apa yang dimaksudkan dengan haji akbar? Para ulamak mempunyai banyak pendapat tentang maksud dari haji akbar. Semua pendapat tersebut berasaskan hujah masing-masing dan termasuk dalam kategori khilaf muktabar yang boleh diterima. Salah satu pendapat tentang haji akbar ialah haji yangmana hari wukuf di padang Arafah jatuh pada hari Jumaat kerana ianya berlaku pada tahun haji yang dilaksanakan oleh Nabi saw pada haji wida’. Apa sahaja yang Allah pilih untuk berlaku kepada Nabi saw sudah pasti istimewa dan terbaik. Selain itu, haji akbar yang hari wukufnya pada hari Jumaatjuga telah mengumpulkan dua kegembiraan iaitu hari Jumaat penghulu hari yang padanya ada waktu doa diterima oleh Allah swt dan juga hari Arafah yang Allah swt sangat gembira pada hari itu dengan menurunkan rahmat dan menerima doa-doa yang dirafa’kan kepadaNYA pada hari itu.

Dalam setiap ibadat apa yang penting ialah penerimaan dari Allah swt. Ibadat yang diterima akan menyebabkan seseorang itu diredoi oleh Allah swt hingga Allah swt isytiharkan kepada para malaikat bahawa hambaNYA itu adalah kekasihnya maka kasihilah dia kemudia para malaikat pula akan isytiharkan kepada penduduk bumi termasuk tumbuh-tumbuhan dan binatang bahawa Allah swt mencintai seseorang itu maka semua makhluk akan suka kepadanya. Cinta DIA cinta utama bagi setiap insan beriman.

LEAVE A REPLY