KEKANGAN DAN CABARAN BERPOLIGAMI

0
1000

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menghadapi dan menjalani kehidupan berpoligami. Bermula dari mengenali bakal isteri kedua hinggalah terlaksana hidup berpoligami kemudian bermula dari detik berpoligami hinggalah kekal atau hancurnya poligami tersebut, semuanya itu mempunyai kekangan dan cabaran pelbagai. Kekangan dan cabaran berpoligami yang ingin dibincangkan ialah yang berkaitan dengan undang-undang di Malaysia dan persepsi serta perangai masyarakat Islam di Malaysia khasnya kaum perempuan dalam menghadapi hidup berpoligami.

poligamicabaran2

Antara kekangan dan cabaran berpoligami ialah sikap kebanyakan isteri yang tidak membenarkan dirinya dimadukan. Sikap ini dianggap sebagai penghalang utama bagi para suami yang ingin berpoligami. Oleh sebab itu, bermacam-macam alasan dan cara yang digunakan oleh para suami untuk mendapatkan kerelaan atau pelepasan dari isteri supaya dengan kerelaan tersebut akan memudahkan urusan poligami yang seterusnya.

Bukan sahaja isteri pertama menjadi kekangan tetapi antara kekangan dan cabaran berpoligami yang agak mencabar juga ialah sikap kebanyakan wanita yang tidak mahu bernikah dengan suami orang lain. Sikap ini juga menjadi halangan bagi kaum suami yang berminat kepada seseorang perempuan yang tidak mahu bermadu dengan isteri yang sebelumnya. Oleh sebab itu, timbullah masalah permintaan menceraikan isteri pertama jika mahu bernikah dengan perempuan lain.

Undang-undang poligami di Malaysia juga menjadi kekangan dan cabaran berpoligami kerana ia mengetatkan jalan untuk berpoligami seperti mewajibkan untuk mendapatkan keizinan dari pihak mahkamah, perjumpaan antara suami bersama isteri serta calon isteri dan sebagainya. Perkara begini menyebabkan banyak kes nikah lari atau bernikah di luar negara terjadi.

Kekangan dan cabaran berpoligami yang paling ketara ialah  para isteri tidak mempunyai sifat toleransi dan tidak sefahaman dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit serta menuntut hak masing-masing. Oleh sebab itu, banyak keluarga yang berpoligami menghadapi pelbagai cabaran di pertengahan jalan hingga menyebabkan kehancuran sesebuah institusi keluarga yang sebelumnya mungkin bahagia dan harmoni.

Faktor persekitaran juga menyumbang dalam kekangan dan cabaran berpoligami di Malaysia. Masyarakat di Malaysia sering memberi perhatian lebih kepada jiran atau kenalan yang berpoligami hinggakan kebanyakan hal ehwal dalaman dan luaran keluarga tersebut menjadi bahan perbualan dan umpatan. Justeru, secara langsung atau tidak langsung akan memberi tekanan kepada mereka yang terbabit.

Jika pembubaran perkahwinan terpaksa dilakukan dengan sebab poligami maka proses untuk bercerai mengikut undang-undang juga bukanlah suatu perkara yang mudah kerana perceraian dianggap sah di sisi undang-undang jika dilakukan di mahkamah. Ini pun salah satu masalah atau kekangan dan cabaran berpoligami yang perlu didalui oleh sebahagian orang. Sebahagian negeri melaksanakan pembahagian harta sepencarian sebelum melangsungkan nikah poligami. Sudah pasti perkara ini akan mengurangkan harta suami dalam mentadbir kehidupan seharian dan keluarganya.

Barangkali pihak tertentu kurang sedar bahawa tumpuan yang diberikan dalam menangani masalah yang timbul dari poligami adalah kurang menyeluruh. Dalam masa begitu memberi perhatian untuk membela dan mempertahankan hak sebelah pihak, mereka seakan-akan hanya menghukum dan mendera kealpaan, kecuaian dan keegoan golongan tertentu tanpa menyediakan wadah tertentu untuk membaiki mereka yang sememangnya memerlukan kepada amalan poligami. Semuanya itu adalah kekangan dan cabaran berpoligami. Noehas belum sedia menghadapinya.

LEAVE A REPLY