KIAMAT PADA HARI JUMAAT INI

0
784

Semua orang Islam yang benar pegangan aqidahnya yakin bahawa hari kiamat pasti akan terjadi. Antara persoalan yang timbul tentang hari kiamat ialah “Bilakah akan berlakunya kiamat?”. Baru-baru ini Noehas menziarahi anak yang sedang belajar tahfiz Al-Quran di Madrasah An-Nuur, Kesang Laut, sambil bersembang dengan anak yang suka bercerita dengan riangnya tentang perjalanan hidupnya di  madrasah keluarlah satu laporan atau cerita kehidupan yang menyentuh jiwa.

Ceritanya ialah sepupu kepada anak Noehas (iaitu anak saudara Noehaslah… sorry berbelit sikit. hehehe) yang berumur 12 tahun selalu menangis pada setiap malam Jumaat hingga kadang-kadang dia tidak boleh tidur, kalau tidur pun akan selalu terjaga. Apabila dia ditanya kenapa, jawapannya “takut kiamat pada hari Jumaat ini” iaitu esok. MasyaAllah anak umur 12 tahun yang belum baligh takutkan kiamat katanya kerana takut amalan belum cukup untuk selamat di akhirat, sedangkan dia sedang belajar menghafaz Al-Quran yang menjamin kebahagian akhirat. Adakah kita yang dewasa ini ada risau tentang keselamatan di akhirat sana?

Baru-baru ini perasaan yang sama berlaku pada anak Noehas yang berumur 5 tahun dan 8 tahun. Waktu tu Noehas tidak ada di rumah. Kebiasaannya kami akan baca beberapa potong ayat-ayat Al-Quran dan beberapa potong hadis dari beberapa kitab antaranya kitab Muntakhab Ahadith atau Al-Ahadis Al-Muntakhabah susunan Maulana Yusuf dan disiapkan oleh maulana Saad. Kitab tersebut dibaca pada waktu malam sebelum tidur atau antara Maghrib dan Isyak.

Pada malam tersebut isteri Noehas membaca hadis berkaitan kiamat, tiba-tiba kedua-dua anak mengalirkan air mata kesedihan. Apabila ditanya, jawapannya sama iaitu “takut hari kiamat pada hari Jumaat ini”. Takut ada dosa nanti masuk neraka. Anak kecil yang belum ada dosa takutkan dosa. Semoga sifat takut melakukan dosa tersebut kekal hingga akhir hayat dan berada di dalam jiwa semua umat manusia dan jin. Sejak malam itu sangat mudah anak-anak bangun tidur, bahkan kekadang sempat solat tahajud. MasyaAllah. Alhamdulillah. Sejuk hati ibu bapa. Ya Allah kurniakanlah kami semua  anak-anak yang soleh.

Sikap mereka yang takut kiamat jatuh pada hari Jumaat ini bukan bermaksud mereka tahu bila kiamat akan berlaku tetapi kerana ada sandaran hadis yang sebut kiamat akan berlaku pada hari Jumaat sahaja. Antara hadis yang menyentuh tentang perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ، يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُهْبِطَ مِنَ الْجَنَّةِ، وَفِيهِ تِيبَ عَلَيْهِ، وَفِيهِ مَاتَ. وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ

maksudnya: Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaatlah dicipta Nabi Adam as, diturunkan dari syurga, diterima taubatnya dan dia wafat.Begitu juga pada hari Jumaatlah akan berlakunya hari kiamat.

Mungkin kerana jiwa kanak-kanak masih suci dan mudah menerima sesuatu menyebabkan mereka terbayang-bayang kiamat akan berlaku pada hari Jumaat Ini. Kita sebagai orang dewasa perlulah imbangkan sikap takut kanak-kanak terhadap hari kiamat dengan mendidik mereka untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi hari tersebut seperti mengajar mereka supaya taat kepada ibu bapa, jaga solat dana amalan fardhu, jangan buka aurat dan jangan langgar larangan Agama Islam dan sebagainya.

Semoga Kita semua selamat dari huru hara hari kiamat dan kedahsyatan hari akhirat. Jaga iman supaya selamat & jaga amal supaya berkat.

LEAVE A REPLY