MADRASAH DI KEMBOJA PERLUKAN BANTUAN

0
470

Minggu lepas Noehas mengembara ke Kemboja atas jemputan equrbanuntuk majlis perasmian bangunan sekolah yang disponsor oleh Al-Ansar Agro. Dalam tempoh 3 hari Noehas berada di bumi Kemboja Noehas dapat ziarah beberapa madrasah iaitu sekolah Agama Islam yang kebanyakannya disponsor oleh orang-orang yang baik hati dari Malaysia. Walaupun begitu kebanyakan madrasah di Kemboja masih memerlukan bantuan yang lebih untuk memantapkan lagi perjalanan dan pentadbiran.

Ramai masyarakat Islam yang menghulurkan bantuan di Kemboja dalam bidang sekolah agama hanya menyumbang untuk didirikan bangunan pusat pengajian Al-Quran yang lebih dikenali sebagai madrasah. Apabila bangunan telah dibina memang ramai ibubapa akan menghantar anak-anak mereka belajar di madrasah-madrasah kerana di sekolah kerajaan Kemboja tidak ada pengajian Agama Islam. Selain itu, kebiasaannya madrasah-madrasah menyediakan pusat pengajian Agama Islam tanpa mengenakan sebarang bayaran walaupun pihak madrasah perlu menyediakan tempat tinggal, makan minum dan gaji guru. Kos penyelenggaraan operasi madrasah yang menyebabkan madrasah di Kemboja amat memerlukan kepada bantuan kewangan yang lebih dan berterusan.

Meneruskan operasi madrasah adalah lebih mencabar berbanding membeli tapak kemudian membina madrasah di atasnya. Perbelanjaan yang berterusan diperlukan untuk makan minum penghuni madrasah, imbuhan para guru dan keperluan harian madrasah. Sifat umat Islam memberi bantuan kepada madrasah-madrasah di Kemboja  lebih bersifat “memberi ikan bukan memberi mata kail” yang menyebabkan madrasah tidak boleh beroperasi langsung tanpa bantuan pihak luar. Usaha untuk “memberi mata kail” kepada mereka mesti diwujudkan dan diselenggarakan dengan baik. Kalau tidak, madrasah di Kemboja akan terus susah dan mengharapkan bantuan dan tidak boleh berdiri sendiri.

Antara perkara yang mesti dilakukan oleh pengelola-pengelola madrasah di Kemboja ialah menapis pengambilan pelajar yang benar-benar ibu-bapa dan pemohonnya ingin berjaya dalam pelajaran bukan untuk mengurangkan bebabanan keluarga di rumah. Yuran kemasukan yang berpatutan juga harus dikenakan untuk memastikan kesungguhan permohonan kemasukan belajar. Yuran bulanan yang minima juga perlu dikenakan sebagai satu ikatan antara madrasah dan pihak ibu bapa selain dari melatih sifat bekerjasama antara ibubapa pelajar dan madrasah. Apabila semua madrasah di Kemboja tidak mengenakan sebarang yuran maka berlakulah masalah pelajar berpindah-pindah madrasah seperti “salin baju” mengikut suka mereka.

Noehas bersyukur dan bangga apabila melihat Al-Ansar Agro yang diketuai oleh Haji Khanafi dan juga equrban yang diketuai oleh Haji Masruken bersama Denaihatiberusaha bersungguh-sungguh menyediakan “mata kail” untuk diberi kepada umat Islam kemboja apabila ketiga-tiga syarikat tersebut bekerjasama dengan CMC iaitu Koperasi Muslim Kemboja membeli tanah untuk pertanian, menternak lembu dan kambing untuk perniagaan, membuka pusat kemahiran komputer dengan kerjasama Yayasan Al-Bukhari dan lain-lain bidang yang dapat membantu umat Islam di Kemboha khususnya madrasah di Kemboja yang menjadi pusat penyebaran Islam di sana.

Bagi sesiapa yang mencari saluran yang betul, amanah, cekap dan bijak dalam mentadbir bantuan di Kemboja khususnya Madrasah di Kemboja maka Noehas mencadangkan hubungilah tiga pihak yang Noehas telah sebutkan iaitu Al-Ansar Agro,equrban dan Denaihati. Semoga dengan entri ini akan lebih tersebarlah kebaikan untuk umat Islam di Kemboja. Para pembaca juga boleh dapat pahala mudah jika disebar-sebarkan ke rakan-rakan masing-masing. Manalah tahu disebabkan anda ada orang yang terbuka hati untuk memajukan lagi madrasah di Kemboja.

kemboja-madrasah

 

LEAVE A REPLY