PESANAN PENTING UNTUK JEMAAH HAJI

0
640

Sempena beberapa orang dari kalangan keluarga dan kawan melaksanakan haji pada tahun 1436 / 2015 ini ingin dikongsi sedikit pesanan penting untuk jemaah haji amnya dan untuk keluarga dan sahabat handai yang melaksanakan haji. Tulisan ini perlu juga dibaca dengan tips haji mabrur yang telah disiarkan sebelum ini.

Begini, setiap amalan dalam Islam ada hukum hakamnya yang disebut masail dan ada kerohaniannya yang ada kaitan rapat dengan fadail. Ilmu masail dan fadail perlu diiringkan bersama supaya dapat dimaksimumkan kesan hidayat dan taqwa dari setiap amalan. Selain dari ilmu masail dan fadail ilmu latar belakang pensyariatan juga membantu dalam menghayati sesuatu perintah atau larangan Agama.

Dalam tertib dakwah yang Allah ajar kepada Nabi Muhammad saw ialah menyediakan diri dengan ilmu fadail yang boleh membentuk semangat dan kemanisan untuk beramal sebelum memulakan dengan ilmu masail iaitu hukum hakam sepertimana solat difardhukan pada tahun kesepuluh Nubuwwah iaitu setelah terbentuk iman untuk sembah Allah dan kembali kepadaNya. Oleh itu para tetamu Allah yang hendak melakukan haji perlu membaca, mendengar dan menghayati fadhilat haji dan umrah hingga timbulnya rasa seronok dan bersemangat dalam menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini. Apabila perasaan tersebut timbul dalam hati maka pimpinlah semangat itu dengan ilmu yang dipelajari dari ustaz muktabar dalam bidang haji, baiknya yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Ini pesanan penting pertama untuk jemaah haji yang ingin dapat “hakikat haji mabrur”.

Antara fadhilat yang berkaitan dengan haji ialah sabdaan Nabi saw “syurga adalah pasti bagi yang dapat haji mabrur” maka usahalah sebaik mungkin untuk dapat haji mabrur. Begitu juga hadis menyebut “haji dan umrah yang diterima Allah akan menghapuskan kemiskinan / kesempitan hidup sepertimana api menghapuskan kayu kering”, maksud kesempitan hidup bukan sahaja miskin duit tapi segala masalah dalam kehidupan. Hadis lain pula menyebut “orang yang melakukan haji dan dapat haji yang diterima Allah maka dia pulang ke rumahnya dalam keadaan tanpa dosa seumpama bayi yang baru dilahirkan”, fadhilat ini adalah antara sebab syaitan rasa terhina kerana segala usahanya untuk mengajak manusia masuk neraka bersamanya telah gagal dengan sebab pengampunan dosa pada musim haji. Banyak lagi fadhilat haji yang boleh membangkitkan iman sahih yang boleh didapati dalam kitab yang membincangkan tentang fadilat haji yang banyak di toko buku. Beli dan bacalah dengan tenang dan penghayatan.

Pesanan penting kedua untuk jemaah haji ialah mengetahui sebaik mungkin sejarah yang ada kaitan dengan perbuatan amalan haji seperti pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam membina kabah, saie, zam-zam, melontar jamarat, sembelihan korban dan seumpamanya. Tidak dilupakan juga mengambil tahu dan menghayati kisah perjuangan Nabi Muhammad saw bersama para sahabatnya yang telah bersusah payah untuk sebarkan Islam yang bermula dari Mekah kemudian Madinah. Pengetahuan sebegini akan menimbulkan kemanisan dan kerohanian yang tinggi dalam sepanjang perjalanan haji. Apa yang penting dalam pesanan kedua ini ialah jemaah haji cuba mengaitkan kehidupan yang Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad saw telah tunjukkan kepada kita untuk kita ikuti jejak langkah mereka. Para sahabat telah diredhai oleh Allah kerana telah berjaya mengikuti cara kehidupan Nabi saw.

Supaya artikel ini tidak panjang berjelah, memadai dengan pesanan penting ketiga untuk jemaah haji. Pesanan ketiga ialah sentiasalah mengharap penerimaan dari Allah swt dalam setiap ibadat khasnya haji. Imbangkan antara perasaan takut akan penolakan dari Allah bersama perasaan harap akan penerimaan dari Allah. Kalau Allah sudah terima cukuplah itu untuk menjadi satu kejayaan yang besar di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika Allah tolak pengabdian diri kepadaNya maka itu adalah satu kegagalan yang besar bagi orang yang memahaminya. Selalulah berdoa “Ya Allah, terimalah dariku hajiku dan pengabdianku kepadaMu”.

Semoga Allah menerima haji dari setiap jemaah haji dan mengampuni segala kesalahan dan kekurangan yang sengaja atau tidak yang dilakukan oleh setiap hambaNya. Allah adalah Tuhan yang Maha luas pengampunanNya. Aamiin wahai Tuhan sekalian alam.