PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH

0
575

arafahpuasa

Setelah pengisytiharan penyimpan mohor besar raja-raja malaysia tentang tarikh Hari Raya Aidiladha 1435 / 2014 baru ni Noehas dapat banyak soalan tentang puasa sunnat 9 Zulhijjah kerana tarikh tersebut berbeza antara Malaysia dan Arab Saudi. Di dunia whatsapp pun pelbagai fatwa dan hukum telah tersebar. InsyaAllah semua kita bertanya dan mencari jawapan yang benar kerana berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan fardhu dan sunat. Jauhkan sebarang perbalahan dan  pergaduhan. Puasa 9 ulhijjah tu hukumnya sunat, bergaduh tu haram. Masalah ini termasuk dalam kategori khilaf muktabarah iaitu perselisihan pendapat di kalangan ulama yang berasaskan dalil dan hujah yang boleh diterimapakai.

Punca perselisihan ialah adakah puasa sunat 9 Zulhijjah tersebut disyariatkan kerana 9 Zulhijjah atau kerana hari Arafah? Kalau kerana hari Arafah maka seluruh penduduk bumi kenalah berpuasa sunat 9 Zulhijjah mengikut kalendar Arab Saudi kerana Arafah berada dalam negara Arab Saudi. Negara Arab Saudi telah menetapkan pada tahun ini hari Arafah jatuh pada hari Jumaat ini iaitu bersamaan 3 Oktober 2014 dan Hari Raya Aidiladha jatuh pada esoknya iaitu hari Sabtu. Sedangkan Malaysia pula telah menetapkan bahawa 9 Zulhijjah jatuh pada hari Sabtu bersamaan 4 Oktober 2014Adapun jika puasa sunat 9 Zulhijjah disyariatkan kerana tarikh tersebut maka setiap negara berpuasa mengikut kalendar Hijrah masing-masing kerana setiap negara ada matla’ / tempat terbit anak bulan masing-masing.

Antara kemusykilan yang timbul jika kita mengatakan bahawa puasa sunat 9 Zulhijjah mesti ikut kalendar Arabb Saudi ialah bagaimana pula dengan negara yang waktunya lebih awal dari Arab Saudi seperti Malaysia? Bermakna akan berlaku puasa sunat 9 Zulhijjah sebelum tarikhnya bermula kerana Hari Arafah belum bermula. Lagipun ada hadis Nabi saw yang memerintah umatnya supaya berpuasa mengikut matla’ masing-masing, sabda Nabi saw: صوموا لرؤيته.

Bagi Noehas, oleh kerana puasa sunat 9 Zulhijjah ini hukumnya sunat dan ianya hanya disunatkan ke atas mereka yang tidak mengerjakan haji maka boleh berpuasa lebih dari satu hari iaitu hari Jumaat dan hari Sabtu maka ia akan merangkumi puasa sunat 9 Zulhijjah mengikut kalendar Arab Saudi dan juga esoknya 9 Zulhijjah mengikut matla’ kalendar Malaysia. Lagipun jika berpuasa pada hari Jumaat sahaja hukumnya makruh mengikut sebahagian ulama fiqh. Ditambah pula ada ulamak yang mengatakan puasa sunat digalakkan pada bulan Zulhijjah bermula sejak 1 Zulhijjah lagi.

Akhir sekali, Noehas mengajak semua Muslimin dan Muslimat yang tidak mengerjakan haji berpuasa sunat 9 Zulhijjah kerana Nabi saw menjanjikan bagi sesiapa yang berpuasa sunat 9 Zulhijjah maka diampunkan dosanya satu tahun yang lepas dan satu tahun yang akan datang (hadis riwayat Muslim). Tahun ini Noehas tidak dapat berpuasa bersama yang tidak pergi haji kerana alhamdulillah Noehas akan melaksanakan haji pada tahun ini, insyaAllah.

LEAVE A REPLY