Sistem Perbankan Forex (Bah. 1)

0
730

SISTEM PERBANKAN FOREX

Oleh: Noehas (www.noehas.com)

11

 

1.0  PEMBUKA BICARA

Perdagangan di antara dua buah negara akan melibatkan pertukaran wang asing di antara kedua-dua negara tersebut. Pertukaran mata wang di antara negara-negara berlainan biasanya dijalankan di satu pasaran yang dikenali sebagai pasaran pertukaran asing. Pasaran mata wang asing yang utama terletak di London, New York dan Tokyo.

Kadar pertukaran asing boleh didefinisikan sebagai harga mata wang sesuatu negara yang dinilaikan dalam mata wang negara-negara asing. la juga  dikatakan  sebagai  nisbah harga di antara dua mata wang yang berlainan. Tiap-tiap mata wang mempunyai kadar tukarannya sendiri dengan mata wang asing.

Kadar pertukaran asing ditentukan oleh permintaan dan penawaran mata wang asing di pasaran pertukaran asing. Permintaan ke atas sesuatu mata wang asing wujud apabila rakyat dan firma sesebuah negara hendak membuat pembayaran bagi barang-barang dan perkhidmatan yang diimport dari luar negeri atau membuat pelaburan di negara-negara asing. Maka permintaan atas mata wang asing terbit daripada permintaan atas import dari luar negeri dan pelaburan ke luar negeri.

Keluk permintaan mata wang asing adalah bercerun ke bawah dari kiri ke kanan. Ini bermakna apabila harga mata wang asing adalah tinggi, permintaan terhadap mata wang asing tersebut akan turun. Sebaliknya, apabila harga mata wang asing adalah rendah, permintaan terhadap mata wang asing tersebut akan naik.

Sistem inilah yang dikenali sebagai forex. Sistem ini sangat penting dalam menjayakan sistem perbankan. Oleh itu, tajuk ini dipilih sebagai bahan kajian dalam kertas kerja matapelajaran Sistem Ekonomi Islam ini.

Semoga dengan kajian ringkas ini dapat membantu dalam memajukan lagi sistem ekonomi Islam di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya.

Tajuk-tajuk dan perbahasan yang dikupas dalam penulisan ini adalah tajuk dan perkara yang berkait rapat dengan sistem forex secara umum sahaja. Namun, ianya cukup untuk memberi gambaran tentang kepentingan forex dalam sistem kewangan dunia.

1.1 Definisi Kadar Tukaran Asing (Forex)

Kadar tukaran asing adalah nilai mata wang asing dalam sebutan nilai mata wang tempatan atau nilai mata wang tempatan dalam sebutan nilai mata wang asing.

Sebagai contoh, Malaysia mengimport barangan dan perkhidmatan dari Jepun, Amerika Syarikat dan Singapura, maka Malaysia perlu mempunyai mata wang Yen, Dolar Amerika dan Dolar Singapura.

Contohnya, pertukaran asing yang dimiliki oleh Malaysia adalah terdiri daripada nilai mata wang negara yang menjadi rakan dagang eksport dan import negara. Antara mata wang tersebut adalah:

Dolar Amerika          =          Amerika Syarikat

Dolar Singapura        =          Singapura

Yen Jepun                   =          Jepun

Euro                               =          Kesatuan Eropah

Riyal                               =          Arab Saudi

Pound Sterling 9        =          Inited Kingdom

Mark Jerman               =          Jerman

Baht                                 =          Thailand

Yuan                               =          China

 

 2.0 KEPENTINGAN FOREX

Forex atau tukaran asing memainkan beberapa peranan dalam urusan ekonomi negara. Antara kegunaan tukaran asing adalah untuk membiayai import Negara, untuk membayar hutang Negara, membuat pelaburan, sebagai jaminan atau sandaran mata wang negara.

 

2.1 Membiayai Import Negara

Dalam urusan perdagangan antarabangsa, tukaran asing memainkan peranan yang penting untuk memudahkan urus niaga antara sebuah negara dengan negara yang lain. Apabila sesebuah negara membeli barang dan negara lain atau mengimport barang dari negara lain, maka negara pengimport terpaksa membuat bayaran dengan menggunakan mata wang negara pengeksport.

Sebagai contoh, kerajaan Malaysia membeli sebuah pesawat pejuang dari negara Perancis, maka kerajaan Malaysia terpaksa menggunakan mata wang Euro sebagai alat bayaran. Jumlah pegangan mata wang yang mencukupi akan memudahkan urusan perdagangan sesebuah negara.

Penawaran bagi mata wang Malaysia –contohnya- adalah disebabkan oleh rakyat dan firma di negara asing ingin membeli atau mengimport barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Malaysia.

Sebagai contoh, rakyat dan firma Singapura yang hendak mengimport barang-barang makanan dari Ma­laysia akan menawarkan dolar Singapura di pasaran pertukaran asing untuk memperoleh ringgit Malaysia.

 

2.2 Membayar Hutang Negara

Pinjaman luar negara merupakan satu keperluan bagi sesebuah negara membangun dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan negara. Setiap pinjaman yang dibuat dari sumber luar negara perlu dibayar semula mengikut tempoh yang ditetapkan. Bayaran balik hutang negara perlu dilakukan dengan menggunakan nilai mata wang negara yang memberi pinjaman.

Sebagai contoh, Malaysia mendapat pinjaman dari kerajaan Jepun untuk meningkatkan pembangunan negara. Oleh itu, bayaran balik hutang negara tersebut perlu dibuat dengan menggunakan mata wang Yen Jepun. Sebarang peningkatan dalam nilai mata wang negara pemben pinjaman akan membebankan negara peminjam.

 

2.3 Membuat Pelaburan

Sesebuah negara akan cuba untuk meningkatkan pelaburan di negara-negara luar untuk tujuan meningkatkan pendapatan negara atau syarikat. Pelaburan yang dibuat di sesebuah negara asing perlu menggunakan mata wang negara tersebut.

Sebagai contoh, Lembaga Lebuh Raya Malaysia membuat pelaburan untuk meningkatkan rangkaian lebuh raya di negara India akan memerlukan mata wang Rupee.

 

2.4 Sandaran Atau Jaminan Nilai Mata Wang

Bank pusat negara iaitu Bank Negara Malaysia akan menjaga kestabilan nilai mata wang negara dengan menggunakan pertukaran asing yang dimiliki.

Jika nilai Ringgit Malaysia jatuh akibat kegawatan ekonomi global atau akibat aktiviti memanipulasi mata wang negara, maka Bank Negara Malaysia akan menjual pertukaran asing dengan cara membeli Ringgit Malaysia. Kesannya penawaran Ringgit Malaysia di pasaran akan berkurangan dan nilai Ringgit Malaysia akan meningkat semula.

Sebaliknya, jika nilai Ringgit Malaysia meningkat, maka Bank Negara Malaysia akan menjual Ringgit Malaysia untuk memiliki pertukaran asing. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan Ringgit Malaysia berkurangan dan nilai Ringgit Malaysia akan kembali berada dalam keadaan yang stabil.

 

3.0 KADAR PERTUKARAN ASING

Kadar pertukaran asing merujuk kepada nilai mata wang sesebuah negara dalam sebutan matawang asing iaitu jumlah nilai muka yang perlu dibayar untuk membeli satu unit mata wang asing. Atau seunit mata wang sesebuah negara dalam sebutan mata wang asing.

Contohnya,kadar tukaran asing dalam sebutan nilai mata wang tempatan AS$1.00 ialah RM380. Ini bermakna nilai satu Dolar Amerika Syarikat bersamaan RM3.80.

Bagi nilai mata wang tempatan dalam sebutan nilai mata wang asing RM1.00 ialah AS$0.38sen. Ini bermakna nilai satu Ringgit Malaysia bersamaan AS$0.38 sen.

Apabila tingkat kadar pertukaran Dolar Amerika Syarikat dalam sebutan ringgit Malaysia turun, harga barang yang diimport dari Amerika Syarikat –contohnya- menjadi lebih murah. Apabila harga barang import jatuh, permintaan terhadap barang import tersebut akan bertambah. Untuk membeli lebih banyak barang import dari Amerika Syarikat, rakyat dan firma Malaysia harus menambah permintaan terhadap Dolar Amerika Syarikat. Dengan perkataan lain, apabila kadar pertukaran Dolar Amerika Syarikat dalam sebutan ringgit Malaysia jatuh, permintaan terhadap Dolar Amerika Syarikat oleh rakyat Malaysia akan meningkat.

Sebagai contoh, apabila tingkat kadar pertukaran Dolar Amerika Syarikat jatuh dari RM3.80 = AS$1 menjadi RM3.60 = S$l, kuantiti Dolar Amerika Syarikat yang diminta jadi bertambah.

            Penawaran mata wang asing adalah serupa dengan penawaran barang-barang. Mengikut teori penawaran, semakin tinggi kadar pertukaran di pasaran, semakin banyak mata wang yang akan ditawarkan. Dengan perkataan lain, apabila harga mata wang asing adalah tinggi, jumlah penawaran mata wang asing tersebut akan bertambah. Sebaliknya, apabila harga mata wang asing adalah rendah, jumlah penawaran mata wang asing tersebut akan berkurang. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa keluk penawaran mata wang asing adalah bercerun ke atas dari kiri ke kanan.

 

3.1 RM Bagi Seunit Mata Wang Asing

RM Per Unit of Foreign Currency 1997 1998 1999 2000 2001
Dolar A.S./US Dollar 2.8132 3.9229 3.8000 3.8000 3.8000
Paun Sterling/Pound Sterling 46134 6.4955 6.1498 5.7637 5.4741
Yen Jepun/Japanese Yen (¥100) 2,3216 3.0040 3.3513 3.5272 3.1296
Mark Jerman/Deutsche Mark 1.6217 2.2307 2.0743 1.7959 1.7410
Dolar Singapura Singapore Dollar 1.8856 2.3434 2.2424 2.2046 2.1217

 

4.0 PERMINTAAN DAN PENAWARAN RINGGIT MALAYSIA

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran ke atas Ringgit Malaysia seperti:

  1. Perubahan eksport dan import: Eksport akan menyebabkan berlaku permintaan ke atas Ringgit Malaysia di pasaran. Apabila nilai eksport Malaysia meningkat, maka permintaan ke atas Ringgit Malaysia turut meningkat. Kesannya nilai mata wang Ringgit Malaysia akan meningkat di pasaran. Import pula akan menyebabkan Ringgit Malaysia ditawarkan di pasaran untuk mendapatkan mata wang asing bagi membayar nilai import. Apabila import bertambah, maka penawaran ke atas Ringgit Malaysia turut meningkat.
  2. Kadar faedah aliran modal: Kadar faedah akan mempengaruhi permintaan dan penawaran ke atas Ringgit Malaysia di pasaran. Jika kadar faedah atas pelaburan asing dan simpanan di institusi kewangaji tempatan tinggi, maka ia akan menarik masuk modal asing atau simpanan rakyat asing di negara kita dan seterusnya permintaan ke atas Ringgit Malaysia juga akan meningkat dan sebaliknya akan berlaku jika kadar faedah atas aliran modal yang rendah akan menyebabkan permintaan ke atas Ringgit Malaysia akan berkurangan. Penawaran ke atas Ringgit Malaysia akan berlaku apabila berlaku pergerakan keluar modal oleh pelaburan asing. Pergerakan keluar modal oleh pelaburan asing akan menyebabkan penawaran ke atas Ringgit Malaysia di pasaran akan bertambah dan ini akan memberi kesan kepada nilai Ringgit Malaysia.
  3. Kestabilan politik sesebuah Negara: Kestabilan politik akan mempengaruhi permintaan dan penawaran kepada Ringgit Malaysia. Malaysia yang mempunyai kestabilan politik yang tinggi telah berjaya menarik kemasukan pelancong asing untuk melancong. Ini akan meningkatkan permintaan ke atas Ringgit Malaysia kerana pelancong asing memerlukan Ringgit Malaysia untuk membuat segala perbelanjaan. Sebaliknya jika negara kita tidak aman, maka pelancong asing tidak akan datang untuk melancong dan kesannya permintaan ke atas Ringgit Malaysia akan berkurangan.

 

4.1 Permintaan Terhadap Ringgit Malaysia

Permintaan ke atas Ringgit Malaysia adalah disebabkan negara asing membeli barangan atau mengimport barang dari Malaysia. Negara pengimport perlu membayar dengan menggunakan mata wang negara pengeksport.

Sebagai contoh, India membeli minyak kelapa sawit dari Malaysia dan terpaksa menawarkan Rupee untuk mendapatkan Ringgit Malaysia. Begitu juga dengan kejayaan Kempen Melawat Malaysia yang telah berjaya menarik masuk pelancong asing. Pelancong asing akan meminta Ringgit Malaysia yang akan digunakan sebagai alat pembayaran sepanjang berada di Malaysia.

Pertambahan dalam eksport akan menyebabkan permintaan terhadap Ringgit Malaysia sebaliknya jika eksport negara menurun maka permintaan terhadap Ringgit Malaysia juga akan merosot.

Eksport naik ——->    Permintaan Ringgit Malaysia akan naik.

Eksport turun ——->  Permintaan Ringgit Malaysia merosot.

 

4.2 Penawaran Terhadap Ringgit Malaysia

Penawaran untuk Ringgit Malaysia berlaku apabila wujud keinginan rakyat atau negara untuk membeli barang dari negara asing. Malaysia sebagai negara pengimport perlu membayar dengan menggunakan mata wang negara pengeksport. Ini akan menyebabkan Malaysia terpaksa menawarkan Ringgit Malaysia untuk mendapatkan mata wang asing.

Sebagai contoh, Malaysia mengimport komponen kenderaan dari Jepun. Maka Ma­laysia terpaksa menawarkan Ringgit Malaysia untuk mendapatkan Yen Jepun sebagai mata wang pembayaran. Begitu juga jika ramai rakyat tempatan melancong ke luar negara, maka rakyat Malaysia akan menawarkan Ringgit Malaysia untuk mendapatkan mata wang negara tempat mereka melancong. Pada musim haji, ramai rakyat Malaysia akan menunaikan ibadah haji di Makkah. Maka mereka akan menawarkan Ringgit Malaysia untuk mendapatkan Riyal yang akan digunakan untuk tujuan berbelanja.

Pertambahan dalam import akan menyebabkan penawaran Ringgit Malaysia juga meningkat dan sebaliknya jika jumlah import kurang, maka penawaran ke atas Ringgit Malaysia akan merosot.

Import naik ——->     Penawaran Ringgit Malaysia akan naik.

Import turun ——>     Penawaran Ringgit Malaysia merosot.

4.3 Kesan Perubahan Tukaran Asing ke Atas Eksport dan Import Sesebuah Negara

Kadar pertukaran asing sesebuah negara bergantung kepada permintaan dan penawaran mata wang sesebuah negara. Sebagai contoh, nilai mata wang Ringgit Malay­sia bergantung kepada permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran.

Jika permintaan ke atas Ringgit Malaysia meningkat akibat pertambahan dalam eksport negara sedangkan penawaran Ringgit Malaysia adalah sedikit kerana import yang berkurangan, maka kadar tukaran Ringgit Malaysia akan meningkat.

Eksport  >  Import  ———>   Nilai Ringgit Malaysia naik

Sebaliknya jika permintaan ke afas Ringgit Malaysia menurun akibat eksport yang lemah sedangkan penawaran Ringgit Malaysia bertambah kesan daripada import yang meningkat, maka kadar tukaran Ringgit Malaysia akan jatuh.

Eksport   <   Import ————> Nilai Ringgit Malaysia turun

 

4.4 Kesan Peningkatan Ringgit Malaysia

Peningkatan dalam jumlah eksport akan meningkatkan permintaan ke atas Ringgit Malaysia. Jika permintaan ke atas Ringgit Malaysia melebihi penawaran Ringgit Malaysia, maka nilai Ringgit Malaysia akan meningkat.

Peningkatan Ringgit Malaysia ini akan memberi kesan kepada eksport negara seterusnya menjejaskan imbangan perdagangan negara. Apabila nilai Ringgit Malaysia meningkat, maka harga barang eksport Malaysia akan menjadi mahal. Peningkatan dalam harga barangan eksport Malaysia akan menyebabkan negara pengimport mengurangkan import barangan dari Malaysia. Kesannya nilai eksport negara akan merosot dan negara akan mengalami imbangan dagangan negatif jika nilai import lebih besar.

Sebagai contoh, andaikan kadar pertukaran Ringgit Malaysia dengan Dolar Singapura berubah dari S$1.00 =  RM2.40 kepada S$1.00 = RM2.30.

Peningkatan Ringgit Malaysia ini akan menyebabkan harga import menurun atau menjadi murah. Ini akan menyebabkan jumlah import meningkat kerana rakyat Malaysia boleh membeli banyak barangan import.

Permintaan RM melebihi penawaran à Nilai RM meningkat à Harga eksport menjadi mahal à Eksport merosot à Imbangan Perdagangan Negatif

Permintaan RM melebihi penawaran à Nilai RM meningkat à Harga import menjadi murah à Import meningkat à Imbangan Perdagangan Negatif

 

4.5 Kesan Penurunan Ringgit Malaysia

Penurunan dalam jumlah eksport akan mengurangkan permintaan ke atas Ringgit Malaysia. Jika permintaan ke atas Ringgit Malaysia kurang daripada penawaran Ringgit Malaysia, maka nilai Ringgit Malaysia akan merosot.

Penurunan Ringgit Malaysia ini akan memberi kesan kepada eksport negara seterusnya memberi kesan kepada imbangan perdagangan negara. Apabila nilai Ringgit Malaysia merosot, maka harga barang eksport Malaysia akan menjadi murah. Penurunan dalam harga barangan eksport Malaysia akan menyebabkan negaia pengimport meningkatkan jumlah import barangan dari Malaysia. Kesannya nilai eksport negara akan meningkat dan negara akan mengalami imbangan dagangan positif jika nilai eksport lebih besar daripada nilai import.

Sebagai contoh, andaikan kadar pertukaran Ringgit Malaysia dengan Dolar Singapura berubah dari S$.1.00 = RM2.00 kepada S$1.00 = RM2.30.

Penurunan Ringgit Malaysia ini akan menyebabkan harga import meningkat atau menjadi mahal. Ini akan menyebabkan jumlah import merosot kerana kuasa beli rakyat Malaysia untuk membeli barangan import berkurangan.

Permintaan RM kurang daripada Penawaran RM à Nilai RM turun à Harga eksport menjadi murah à Eksport meningkat à Imbangan perdagangan positif

Permintaan RM kurang daripada Penawaran RM à Nilai RM turun à Harga import menjadi mahal à Import berkurangan à Imbangan perdagangan positif

 

LEAVE A REPLY