TIPS HAJI MABRUR

0
813

Sempena musim haji tahun 1436 hijrah ini almuhtadin ingin berkongsi tentang tips dapat haji mabrur iaitu haji yang sah dan diterima oleh Allah bahkan ianya akan menjadi asbab meningkatnya iman yang sahih dan amal yang soleh hingga tercapainya maksud taqwa dalam diri hinggalah dapat keredhaan Allah swt di dunia dan akhirat.

Haji mabrur juga bermaksud haji yang dilakukan dengan cukup sempurna perbuatannya dan tidak dicampuri sebarang dosa walaupun dosa kecil semasa dalam keadaan ihram. Berlawanan dengan haji mabrur dipanggil haji mardud iaitu haji yang ditolak dan tidak diterima dari sudut hukum dan juga pada sisi Allah, ianya samada disebabkan perlaksanaannya yang tidak betul atau disebabkan perkara-perkara kerohanian yang Allah nilai padanya. Oleh kerana itu perlulah diketahui tips untuk dapat haji mabrur supaya haji yang dilaksanakan tidak menjadi haji mardud.

Selain daripada haji mabrur dan haji mardud ada juga haji maqbul iaitu ia haji yang diterima Allah tetapi tidak memberi kesan ketaqwaan dalam diri si pelaksana haji. Semua jenis-jenis haji ini adalah dari sudut penerimaan di sisi Allah dan ianya bukan kita yang menghukumnya. Cuma ia perlu diketahui supaya kita berusaha untung mengamalkan cara dan tips mencapai haji mabrur di sisi Allah.

Di sini diringkaskan tips haji mabrur, ianya perlu dimulai sejak sebelum pergi haji kemudian dijaga semasa melaksanakan haji hinggalah diistiqamahkan hingga akhir hayat. Adapun tips haji mabrur sebelum pergi haji ringkasnya ada 3 perkara iaitu bertaubat dari segala kesilapan dan dosa, jangan tangguhkan kononnya hendak bertaubat di Mekah. Keduanya ialah memastikan kewajiban rukun Islam yang pertama hingga yang keempat disempurnakan dengan baik sebelum berangkat ke rukun Islam yang kelima iaitu haji. Ketiganya ialah mempelajari ilmu kerohanian haji dan hukum hakamnya dengan baik supaya ibadat haji dilaksanakan atas basirah iaitu yaqin.

Adapun tips haji mabrur yang perlu dijaga semasa melaksanakan haji ialah menjaga rukun haji, wajib haji dan sunat-sunatnya dengan sebaik mungkin. Begitu juga meninggalkan segala dosa dan sifat keji seperti mengumpat, menipu dan sebagainya. Juga merujuk kepada alim ulama pada perkara-perkara yang perlu penerangan seperti dam atas kesalahan yang dilakukan semasa ihram dan seumpamanya.

Setelah selesai mengerjakan haji tips haji mabrur juga perlu diambil berat. Antaranya ialah menjaga aqidah dan iman yang telah dimantapkan semasa haji. Begitu juga dengan ibadat dan amalan seperti solat fardhu di awal waktu dengan berjemaah bagi kaum lelaki. Sudah pasti antara perkara penting yang perlu dijaga selepas haji ialah akhlak yang baik dengan Allah dan sesama makhluk.

Semoga sedikit tips haji mabrur ini dapat dimanfaatkan bagi para jemaah haji dan umrah. Ingatlah janji Nabi saw dalam hadis sahih bahawa “Ganjaran bagi haji mabrur adalah syurga”. Jadikan slogan ini sebagai azimat dalam memburu haji mabrur…. “HIDUPKU DAN MATIKU UNTUK MENCARI KEREDHAAN ALLAH”.