UMRAH PUNCA HIDAYAH

0
527

Seronok melihat semakin ramai masyarakat Islam di Malaysia yang mengorbankan harta, masa dan diri untuk menunaikan ibadat umrah. Mengikut perbualan dengan ramai para jemaah, mereka berpendapat bahawa umrah punca hidayah dalam kehidupan mereka. Tapi Noehas pernah juga bertemu dengan jemaah umrah yang semakin jauh dari amalan Agama Islam selepas pulang dari umrah. Bagi Noehas tajuk ini agak menarik dibincangkan supaya sesiapa yang hendak pergi umrah jangan sampai semakin jauh dari hidayah tetapi sepatutnya umrah menjadi penambah hidayah dalam kehidupan seharian.

Noehas pernah memimpin beberapa orang artis terkenal tanahair, begitu juga golongan yang mudah meninggalkan perintah Allah seperti solat semasa mereka bekerja. Apa yang Noehas dapati hati mereka amat cintakan Agama Islam dan ingin sangat menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat. Sangat bagus ibadat dan akhlak mereka selama di Mekah dan Madinah. Bagi mereka umrah punca hidayah terbaik untuk memantapkan iman mereka. Sebahagian dari golongan tersebut sanggup tinggalkan pekerjaan dunia mereka yang melalaikan. Bahkan menjadi pendakwah kepada rakan-rakan mereka. Sedihnya, ada segelintir manusia yang amalan mereka tidak bertambah baik walaupun setelah kembali dari ibadat umrah.

Melalui pemerhatian, Noehas berpendapat mereka yang merasakan umrah punca hidayah adalah disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah semangat, harta halal, bimbingan ustaz selama di kembara umrah dan pilihan Allah SWT. Bab pilihan tu bukan dalam ilmu pengetahuan manusia, kita sentuh tentang faktor-faktor yang sebelumnya. Orang yang pergi umrah dengan semangat sendiri berbeza dengan orang yang setakat ikut-ikut ajakan orang lain. Mereka yang niatnya kuat untuk melaksanakan umrah pasti akan membuat persiapan yang cukup dari sudut ilmu pengetahuan, kesihatan dan sebagainya. Harta yang halal juga amat penting dalam usaha mendapatkan taufiq dan hidayah dari Allah melalui perantaraan umrah.

Noehas rasakan yang paling penting dalam usaha umrah punca hidayah ialah guru pembimbing dalam kembara umrah mestilah guru atau ustaz yang mampu mendidik ahli jemaahnya mengenal Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW selain mewujudkan rasa tanggungjawab terhadap Agama Islam. Ceramah-ceramah yang disampaikan di dalam bas semasa perjalanan ziarah dan safar adalah peluang yang amat baik untuk menyampaikan maksud matlamat hidup kepada para jemaah. Tempat-tempat ziarah semasa di Mekah dan Madinah juga adalah antara tempat yang boleh menjadi asbab hidayah bagi jemaah umrah. Mengikut pengalaman Noehas, jemaah umrah yang memberi tumpuan yang bagus semasa ceramah disampaikan oleh Noehas atau mana-mana ustaz yang berpengalaman maka kesan hidayah dalam diri jemaah tersebut amat bagus. Ada yang tidak pernah mengaji Al-Quran kini alhamdulillah telah menghafaz surah-surah panjang walaupun sibuk dengan kehidupan dan pekerjaan harian.

Dalam tahun 2013 ini Noehas telah bawa dan pimpin jemaah umrah pada bulan 3 sekali dan bulan 4 sekali. Antara yang menjadi jemaah umrah Noehas pada bulan 3 baru ni ialah pemilik blog ni. InsyaAllah kalau diizinkan Allah pada awal bulan Ramadhan nanti sekali lagi. Alhamdulillah jemaah yang dibawa amat bagus dan terkesan dengan suasana iman, ibadah dan kerohanian yang ada di Mekah dan Madinah. Boleh dikatakan hampir semua mereka benar-benar merasakan bahawa umrah punca hidayah yang amat-amat mengkagumkan. Pada bulan 3 baru ni Noehas bawa pakej istimewa yang agak mahal kerana hotel yang dipilih ialah hotel bertaraf 5 bintang iaitu di dalam zam-Zam Tower. Pada bulan 4 baru ni pula Noehas bawa pakej murah kerana hotelnya jauh sedikit. Bagi Noehas, murah atau mahal bukan pengukur untuk dapat hidayah semasa umrah. Semuanya bergantung kepada diri sendiri dan ustaz yang memimpin.

Jika ada sesiapa yang berminat hendak pergi umrah pada awal Ramadhan nanti bolehlah Noehas usahakan dan bersama-sama kita berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dan “mengecas” iman dan amal di sana hingga mampu dibawa balik kekuatan tersebut ke dalam kehidupan seharian. Umrah punca hidayah bergantung kepada diri sendiri dan ustaz yang memimpin, bukan bergantung kepada pakej mahal atau murah.

kuliah ibadat umrah

LEAVE A REPLY