WAKTU TAKBIR RAYA HAJI 2014

0
1097

Sebelum ni Noehas pernah tulis tentang waktu takbir Raya Haji, entri kali ini sebagai tambahan dari apa yang telah dibincangkan di sana. Tajuk entri dikhaskan waktu takbir Raya Haji 2014 kerana pada tahun ini Hari Raya Haji di Malaysia lambat satu hari dari Arab Saudi.

Isunya ialah disunatkan memulakan takbir bagi yang tidak melaksanakan haji sejak pagi Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Persoalannya nak ikut 9 Zulhijjah Arab Saudi atau Malaysia? Perbincangan ni hampir sama dengan apa yang dibincangkan di tajuksebelum ini.

Oleh kerana takbir Raya Haji terbahagi kepada dua iaitu takbir mutlaq dan takbir muqayyad maka tidak ada masalah jika hendak bertakbir Raya Haji 2014 di Malaysia ni diawalkan sehari mengikut kalendar Saudi tetapi jangan bertakbir selepas solat fardhu supaya ia kekal sebagai takbir mutlaq iaitu takbir raya yang diucapkan pada bila-bila masa bermula dari 1 Zulhijjah hingga sebelum subuh 9 Zulhijjah bagi yang tidak mengerjakan haji. Sedangkan takbir muqayyad iaitu takbir Hari Raya Haji yang dilaungkan selepas solat-solat Fardhu bermula dari solat Subuh 9 Zulhijjah waktu Malaysia hingga solat Asar 13 Zulhijjah. Bermakna mula dari subuh 9 Zulhijjah tidak dilaungkan takbir raya kecuali selepas solat fardhu.

Dengan pembahagian tersebut, diingatkan sekali lagi jangan lupa pesanan di entri yang lepas iaitu menjadi kesalahan bertakbir raya ketika melaksanakan ibadat korban kerana itu termaksuk dalam takbir mutlaq sedangkan waktu takbir mutlaq dah tamat pada pagi 9 Zulhijjah.

 

Sunnah melaungkan takbir mutlaq pada Raya Haji menjadi seperti asing di Malaysia kerana tidak diamalkan. Para pembaca boleh hidupkan sunnah ini di rumah, pejabat, kedai dan lain-lain tempat. Ni peluang nak dapat janji Nabi saw yang bermaksud sesiapa yang hidupkan sunnahnya pada zaman sunnah itu tidak diamalkan maka mendapat pahala syahid. Noehas juga mencadangkan supaya siaran-siaran tv dan radio boleh hidupkan sunnah tersebut.

Ringkasan waktu takbir Hari Raya Haji:

1. Untuk umat Islam yang tidak melaksanakan ibadat haji:

A. Takbir mutlaq (pada bila-bila masa, bukan lepas solat fardhu) bermula dari 1 Zulhijjah hingga 8 Zulhijjah.

B. Takbir muqayyad (lepas solat fardhu sahaja) bermula dari solat Subuh 9 Zulhijjah hingga solat Asar 13 Zulhijjah.

C. Jangan bertakbir raya waktu sembelih binatang korban. Memadai dengan sekali takbir untuk sembelih (bismillahi Allahu akbar).

2. Untuk umat Islam yang berada di Mekah:

A. Bermula dari 1 Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah sebelum melontar Jamrah Aqabah, yang berpakaian ihram sibukkan diri dengan talbiah, bukan takbir raya. Adapun yang berihram pada hari-hari sebelum 9 Zulhijjah kerana haji tamattu’ maka boleh bertakbir seperti orang yang tidak mengerjakan haji.

B. Bermula dari waktu melontar Jamrah Aqbah pada 10 Zulhijjah sudah meninggalkan talbiah dan boleh memulakan takbir raya secara mutlaq dan muqayyad hingga sebelum Maghrib 13 Zulhijjah.

* Lafaz takbir raya mutlaq dan muqayyad sama sahaja.

LEAVE A REPLY